Cinta Seorang Mualaf
“Tapi kenapa Aisyah yang kena ma,abah? Kenapa tak kak long,
kak chik?”, persoalan yang aku utarakan kepada mama dan abah, saat mereka
meminta aku untuk menerima lamaran seorang mualaf baru yang juga adik kepada
sahabat abahku. “Aisyah, Wong Ai Shin tu kan
saudara baru. Dia perlukan seseorang untuk bantu dia, untuk bimbing dia untuk
lebih memahami dan mendekati ajaran agama Islam. “Tapi ma, layak ke Aisyah?
Ilmu Aisyah pun masih di peringkat bawahan lagi. Inikan pula nak membimbing mualaf
pula tu.” Aku cuba
menongkah kata-kata mama. Aku sendiri pun baru sahaja memperbaiki diri setelah
bertaubat kepada Allah swt atas dosa-dosa silam aku. Aku baru sahaja 5 tahun
berubah ke arah menjalani kehidupan acuan Islam, tiba-tiba Allah uji aku dengan
dugaan sebegini. Aku belum puas untuk beribadah kepada Allah. Aku belum puas
menuntut ilmu ajaran agama Islam. Aku masih mentah! Hatiku membentak dan
memberontak.
“Aisyah, lakukanlah istikharah, pohon lah petunjuk dari
Allah ya. Abah yakin, Allah takkan mensia-siakan hambaNya yang solehah. Allah
Maha Mengetahui yang terbaik buat hidup Aisyah.” Abah memberi saranan yang agak
bernas kepadaku. Kenapa aku tak terfikirkan jawapan itu tadi, sebaliknya
terus-terusan menolak cadangan mama dan abahku. “Hurm, baiklah abah, mama. Bagi
Aisyah masa untuk solat istikharah dan berdoa kepada Allah ya. Nanti Aisyah
akan beritahu jawapannya”.
Dan tidak seperti malam-malam sebelumnya. Aku membuat
keputusan untuk menghadap Allah meminta pendapatNya. Aku tahu, mahu tak mahu
aku pasti akan menerima cadangan mama dan abah. Cuma bagi aku, penting untuk
meminta petunjuk dari Allah agar pilihan yang dibuat seiiring dengan sesuatu
yang telah Allah tetapkan. Aku pernah terdengar seorang pendakwah berkata
bahawa, untuk lakukan instikharah mestilah dalam hati telah pun membuat
keputusan. Dengan melakukan istikharah, kita pohon pada Allah agar sekiranya
keputusan yang dibuat baik untuk diri aku, keluargaku, kehidupanku maka
permudahkan dan sekiranya tidak baik maka jauhkanlah aku dari perkara itu.
Selama 3 hari berturut-turut melakukan istikharah, aku dapat
rasakan sesuatu ketenangan yang tidak pernah aku perolehi seperti hari-hari
sebelumnya. “Ma, abah, Aisyah setuju.” Kataku kepada mama dan abah berhubung
cadangan mereka untuk menyatukan aku dengan mualaf cina itu. “Alhamdulillah.”
Serentak mama dan abah mengucapkan syukur di atas keputusanku itu. “Aisyah,
esok kita pergi cari kain nak buat baju nikah ey. Mama akan jahitkan baju nikah
paling cantik untuk anak mama yang solehah ni!” Aku cuma mampu tersenyum manja
memandang ke arah mama dan abah. Aku harap ini merupakan salah satu pengorbanan
bagi memperoleh redha mama,abah sekaligus redha Allah terhadap hambaNya yang
hina ini.
“Aku terima nikahnya Siti Aisyah binti Mohamad Rais dengan
mas kahwinnya 55 ringgit 50 sen tunai.” Alhamdulillah dengan sekali lafaz, aku
sah bergelar isteri kepada mualaf bernama Muhammad Wong Ai Shin. Majlis
pernikahan yang berlangsung dalam keadaan sederhana itu tetap meriah tanpa
majlis berinai mahupun majlis persandingan. Telah aku tetapkan kepada mama dan
abah bahawa aku mahukan majlis seringkas mungkin. Melakukan yang perlu agar
dapat megekalkan barokah pernikahan itu sendiri tanpa melepaskan walau satu
pahala dengan melakukan adapt-adat yang bertentangan dengan agama islam. Dan
tanpa aku sedar, saat lafaz ijab itu terkabul, satu perasaan luar biasa
menyelubungi hati aku. “Ya Allah, inikah rasa yang dialami oleh mereka yang
bercinta selepas nikah?” Sebelum pernikahan aku dan Muhammad Wong langsung tak
pernah berhubung berdua-duaan sama ada di dalam telefon mahupun berdepan
kecuali dengan kehadiran wali aku iaitu abah. Itupun berbincang tentang majlis
pernikahan. Semuanya aku lakukan agar redha Allah dapat aku kecapi supaya
penyatuan dua hati itu berlangsung dalam keadaan yang suci dan penuh dengan doa
barokah dari segala penghuni langit.
Ternyata pilihan aku tidak silap. Sebaik dinikahkan,
Muhammad Wong menjemput aku untuk melakukan solat sunat sebagai tanda
kesyukuran kami kepada Allah. Aku mengaminkan doa yang dibacanya. Di sebalik
kepelatannya berdoa di dalam bahasa arab dan melayu, kelancarannya tidak
menggambarkan bahawa beliau baru sahaja memeluk Islam 9 bulan lalu. Aku
bersyukur ya Allah kerana dikurniakan suami yang soleh seperti yang aku
impikan. Aku mohon agar keberkatan pernikahan kami akan berkekalan sehingga ke
syurga kelak. Mungkinkah ini yang dikatakan cinta selepas nikah? Aku cuma mampu
memandang ke arah suami yang aku nikahi dengan pandangan penuh rasa kecintaan
kurniaan Allah tatkala dia melayan tetamu yang hadir ke majlis kami.
“Sayang, kenapa
pandang abang macam tu? Rasa cinta sangat-sangat ey?” usik suami ku.
“Sayang rasa
bahagia sangat-sangat. Saat lafaz ijab dan kabul menjadi sah, satu perasaan
hadir dalam diri sayang. Mungkin itu yang dinamakan cinta selepas nikah? Semoga
cinta berkekalan hingga ke syurga wahai suamiku” pandangku ke arah suamiku
dengan pandangan penuh rasa cinta.
******
No comments:
Post a Comment